Sunday, July 29, 2012

Mengawal Pintu Nafsu


Mengawal Pintu Nafsu


Pergaulan bebas adalah punca utama penzinaan. Ketahuilah bahawa seorang lelaki yang mendekati wanita pada dasarnya ia telah mendekati pintu perzinaan. Seorang lelaki yang memberi tumpuan penuh pandangan kepada wanita bererti ia telah mendekati perzinaan. Begitu pula dengan mereka yang senang melayari gambar-gambar porno di internet, menonton video lucah, filem yang menghairahkan, hiburan melampau adalah mendorong kepada perzinaan. Termasuk juga mereka yang bukan muhrim berdua-duan di tempat yang sunyi akan mendatangkan kemaksiatan pada dirinya. Firman Allah dalam surah al-Israa’ ayat 32:
وَلَا تَقْرَبُوا الزِّنَا ۖ إِنَّهُ كَانَ فَاحِشَةً وَسَاءَ سَبِيلًا
Yang bermaksud: “Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat.”

Kita perlu ingat bahawa orang yang berzina akan menerima azab siksa yang sangat pedih di neraka Jahannam. Kepanasan api neraka adalah 70 kali ganda kepanasan api yang ada di atas dunia ini. Dalam beberapa hadith disebutkan, di akhirat kelak, Allah SWT tidak menegurnya, tidak menyapanya dan tidak memandangnya. Ketika perbuatan berzina berleluasa dan pintu-pintu menuju perzinaan juga terbuka luas yang kelihatan sukar disekat, maka ketahuilah bahawa musibah bersiap sedia datang menerpa kita. Seberapa dekat kita dengan pinti-pintu menuju perzinaan, sedekat itu lah musibah yang akan diturunkan oleh Allah SWT. Musibah mungkin tidak menimpa diri kita tetapi akan menimpa anak cucu kita misalnya turut terjebak dengan amalan perzinaan (mudah-mudahan Allah melindungi kita dari itu).

Selari dengan mengawal pintu nafsu, maka pada dasarnya hukum perkahwinan yang ditetapkan Islam adalah wajib kepada mereka yang berkemampuan dan menpunyai nafsu yang kuat sehingga boleh menjerumus ke lembah maksiat. Berdasarkan kepada pandangan ahli-ahli fiqh dan hadith Rasulullah SAW bahawa mereka yang berkemampuan dari segi zahir dan batin, hendaklah mendahulukan perkahwinan dari ibadah yang lain kerana dikuatiri maksiat akan berlaku pada dirinya. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Wahai golongan pemuda! Sesiapa yang berkemampuan untuk al-baah (mampu menyediakan nafkah perkahwinan) maka hendaklah dia berkahwin kerana sesungguhnya perkahwinan itu lebih menundukkan pandangan dan memelihara kemaluan. Sesiapa yang tidak mampu maka hendaklah dia berpuasa kerana puasa itu penghalang baginya daripada syahwat.”(Riwayat Bukhari dan Muslim). Menurut pandangan Imam al-Nawawi dan al-Shafie golongan pemuda yang dimaksudkan di dalam hadith tersebut ialah mereka yang sudah baligh dan belum mencapai usia 30 tahun. Penekanan kepada usia ini kerana ianya berada pada peringkat segala-gala memuncak kecuali kematangan. Kebiasaan pada peringkat umur ini, nafsunya tinggi, semangatnya kuat, tenaganya berlebihan, hasrat ingin mencuba timbul di dalam pelbagai perkara namun malangnya kebanyakan perhitungan mereka itu singkat belaka.

Justeru berdasarkan kepada tuntutan kehidupan ini, ibu-bapa yang mempunyai anak-anak yang seusia sebegini memberi perhatian kepada keperluan mereka. Ingatlah bahawa dasar hukum perkahwinan yang ditetapkan Islam adalah tidak membebankan. Berdasarkan sirah Rasulullah  SAW bahawa sekurang-kurangnya majlis walimah atau kenduri kahwin adalah menyembelih seekor kambing, kadar mas kahwin dan hantaran yang rendah adalah dituntut kerana membawa keberkatan dalam perkahwinan dan perlu mengelakkan pembaziran. Begitu juga kepada pihak berkuasa agar dipermudahkan segala urusan bagi pasangan yang telah mencukupi segala syaratnya demi menutup segala pintu  kemaksiatan.

Apabila seseorang itu berkemampuan membina rumah tangga maka hendaklah ianya bersegera bernikah. Perkataan al-nikah itu sendiri sebenarnya daripada lafaz yang mengandungi maksud mengharuskan bersuka-suka pasangan suami isteri dalam bentuk yang diizinkan syarak. Justeru, tekanan perasaan keinginan dan nafsu yang terkumpul dalam diri dapat diluahkan dengan cara yang diredai Allah SWT. Oleh itu dengan kewujudan pasangan yang sah dapatlah memelihara larangan Allah SWT dari segala kemungkaran yang bersangkutan dengan kemaluan dan mata serta dapat mengawal pintu nafsu.

Ingatlah bahawa Islam mengharamkan penzinaan tetapi mengizinkan perkahwinan secara yang sah. Marilah sama-sama kita merenung firman Allah SWT dalam surah al-Ruum, ayat 21:
وَمِنْ آيَاتِهِ أَنْ خَلَقَ لَكُم مِّنْ أَنفُسِكُمْ أَزْوَاجًا لِّتَسْكُنُوا إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُم مَّوَدَّةً وَرَحْمَةً ۚ إِنَّ فِي ذَ‌ٰلِكَ لَآيَاتٍ لِّقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ ﴿٢١﴾
Maksudnya: “Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu, isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dengannya, dan dijadikan di antara kamu perasaan kasih sayang. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan bagi orang yang berfikir”.

No comments:

Post a Comment

Pendaftaran Santri Baru PM Insan al-Muwahhid Purwokerto

SELAMAT DATANG SANTRI BARU TAHUN 2021/2022

 SELAMAT DATANG CALON SANTRI BARU PESANTREN INSAN AL-MUWAHHID PURWOKERTO Ayo daftar sekarang juga tinggal klik 👉 http://bit.ly/PSBAlmuwahhi...